Israk Mikraj


Israk Mikraj Bukan Dalam Mimpi.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt yang telah memberi peluang kepada hamba-Nya untuk merasai nikmat hidup sebagai seorang manusia di atas bumi tandus ini. Sekali lagi saya diberi kesempatan untuk 'menulis' atau 'update' blog setelah sekian lama tergendala dalam usaha menyampaikan dakwah, insyaallah. 

Ulama telah bersepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad Nabi Muhammad saw secara jaga dan bukan dalam mimpi. Ini dibuktikan melalui kefahaman zahir ayat al-Quran dan hadis yang sahih.

gambar hiasan

                Bahkan ia juga merupakan perkara yang diterima akal dan tidak mustahil di sisi kekuasaan Allah swt.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(surah al-Isra’ ayat 1)

Perkataan hamba yang digunakan dalam ayat memberi kefahaman bahawa ia berlaku dengan roh dan jasad.

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas.”
(surah al-Najm ayat 17)

                Surah al-Najm ayat 17, jelas menunjukkkan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dengan jasad baginda secara jaga kerana ia disandarkan kepada al-Basar yang bermaksud penglihatan mata zahir.
                Peristiwa yang melibatkan pandangan mata zahir tentulah berlaku secara jaga disertai dengan jasad sebagaimana dinyatakan lagi dalam ayat seterusnya dalam surah al-Najm.

“Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”
(surah al-Najm ayat 18)


gambar hiasan

                Sekiranya ia berlaku dalam mimpi, maka ia bukanlah suatu tanda atau mukjizat yang mencari adat yang diyakini kebenarannya, sekalipun mimpi para Nabi itu merupakan wahyu. Jika ia berlaku dalam mimpi sahaja, sudah pasti orang-orang kafir tidak menolak dan mendustakannya. Malah orang-orang yang lemah iman juga tidak menjadi murtad dan teruji kerana kejadian ini terlalu jauh daripada adat kebiasaan. Ia berlaku pada masa yang singkat dan pada sangkaan mereka mustahil terjadi.
                Bahkan pendustaan, sangkalan dan kemurtadan mereka merupakan dalil yang kuat bagi menunjukkan bahawa keingkaran mereka terhadap peristiwa ini adalah kerana perjalanan Rasulullah saw tersebut berlaku secara hakiki disertai dengan jasad dalam keadaan jaga.

Insyaallah jika diberi kesempatan, saya akan berusaha menulis atau update' perihal Israk dan Mikraj. Insyaallah. Segala yang baik datang daripada Allah swt. Assalammualaikum

(edit by Muhammad Zulhilmi daripada sumber : surat khabar Utusan Malaysia)