Rasulullah


Kisah Belah Dada Rasulullah saw Benar-benar Berlaku.



S
ejarah merakamkan bahawa peristiwa pembelahan dada Nabi Muhammad saw berlaku beberapa kali. Salah satunya ialah ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Sebelum bertolak melakukan perjalanan yang mulia itu, Malaikat Jibril terlebih dahulu membelah dada dan mengeluarkan hati baginda. Kemudian Jibril membasuhnya dengan bantuan Mikail sebanyak tiga kali dengan air zamzam. Dengan itu, peristiwa pembelahan dada baginda telah berlaku sebanyak empat kali.
Pertama ketika masih kecil sewaktu tinggal bersama ibu susuannya, Halimah al-Sa’diyyah.
Kedua ketika berusia 10 tahun.
Ketiga ketika dibangkitkan menjadi Rasul.
Keempat pada malam Israk dan Mikraj.
                Peristiwa pembelahan dada itu telah thabit melalui jalan-jalan periwayatan yang sahih. Ia berlaku secara hakiki dan tidak boleh kita mentakwilkan dan mengalihkannya kepada perkara maknawi. Bahkan ia adalah pembelahan yang benar-benar berlaku dan dirasai oleh pancaindera.
                Perkara-perkara mencarik adat adalah seperti ini tidak boleh diukur dengan akal. Ulama menyebut tatkala Jibril mengeluarkan hati baginda dan membasuhnya dengan air zamzam, dicabut rasa sakit daripada baginda.
Gambar Hiasan

                Dalam satu riwayat menyebut Jibril mengeluarkan dari hati baginda segumpal darah hitam lalu berkata :
“Ini adalah bahagian syaitan (Hazz Al-Syaiton) dari dalam diri engkau.”
Tujuan penyucian hati itu bagi menzahirkan lagi kesempurnaan batin sebagaimana jelasnya kesempurnaan zahir baginda saw.
Al-Imam Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki dalam kitabnya Al-Anwar Al-Bahiyyah fi Al-Isra’ wa Al-Mi’raj Khair Al-Bariyyah  menyatakan : “Terdetik di hati saya makna yang lain iaitu sesungguhnya dada Sayyiduna Muhammad saw dipenuhi dengan rahmat, bahkan ia adalah sumber terbit dan asalnya seperti mana firman Allah swt dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107.”
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
                Rahmat yang dimaksudkan itu adalah menyeluruh lagi sempurna kerana ia adalah rahmat Allah swt yang meluas dan meliputi segala sesuatu. Tetapi Allah swt mengeluarkan syaitan, pembantu-pembantu dan kaum kerabat syaitan serta sesiapa yang ditakdirkan menjadi celaka dari rahmat itu. Tidak ada langsung bahagian mereka di dalamnya dan tiada sesuatu pun buat mereka daripada peruntukan rahmat ini.
                Maka jadilah pengertiannya di sini mereka (Jibril dan Mikail) mengeluarkan bahagian syaitan daripada merasai rahmat (sifat kasih dan belas) baginda lalu tiada langsung bahagian syaitan dalam peruntukan rahmat ini.

( Edit by Muhammad Zulhilmi daripada sumber : Surat Khabar Utusan )